Hari Keluarga - Rancangan Keluarga Bestari

20101128_SSFP-FamilyDay

28.11.2010 merupakan tarikh yang dinanti-nantikan oleh setiap keluarga yang menyertai Rancangan Keluarga Bestari untuk bersukaria bersama anak-anak bersempena cuti sekolah akhir tahun. Seawal jam 7:30 pagi lagi, para ibu bapa dan anak-anak telah tiba untuk mendaftarkan keluarga masing-masing. Wajah-wajah ceria dan segar menghiasi pagi hari yang indah. Ada sesetengah keluarga yang bilangan ahli keluarganya yang ramai telah memenuhi tempat duduk pada meja bulat di dalam dewan manakalau sebilangan ahli keluarga yang kecil pula berkongsi dengan keluarga yang lain. Masing-masing kelihatan tertanya-tanya apakah acara-acara menarik yang bakal dihidangkan sepanjang Hari Keluarga yang julung-julung kali diadakan ini.

Pihak TMFH selaku panel pengendali program Hari Keluarga memulakan acara dengan meminta para ibu bapa dan anak-anak berpecah kepada 1 kumpulan bapa, 1 kumpulan ibu, 1 kumpulan anak lelaki & 1 kumpulan anak perempuan. Maka bermulalah acara pertama pada pagi tersebut di mana keempat-empat kumpulan dikehendaki mengikut arahan yang diberikan untuk menyusun ahli-ahli kumpulan mengikut bulan kelahiran, tahun kelahiran atau saiz kasut. Kumpulan yang cepat bertindak dan menyusun ahli dengan betul digelar juara. Di sini kelihatan kaum bapa begitu pantas bertindak lalu menjuari setiap arahan yang diberikan. Tidak hairanlah jikalau bapa diberikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga kerana mereka mampu melaksanakannya dengan baik sekali.

Seterusnya semua keluarga menyusur keluar dari dewan untuk menuju ke padang. Pelbagai acara yang lebih menarik disediakan dan memerlukan setiap ahli keluarga untuk bertindak lebih agresif, aktif dan pantas. Cuaca yang redup dan nyaman memberi keselesaan sepenuhnya pada setiap keluarga untuk bertempur antara satu sama lain di dalam permainan yang sediakan. 

Pihak SSC turut memeriahkan suasana dengan menjadi pasukan sorak dan barisan juri bagi mengadili permainan yang dikendalikan oleh pihak TMFH. Sangat mengkagumkan apabila melihat setiap ahli keluarga begitu kreatif dan bersatu padu dalam menyiapkan model-model cilik dengan berfesyenkan kertas-kertas akhbar yang meliputi setiap inci badan mereka. Kasihan si model cilik dibungkus seperti mumia padang pasir dan bila diminta untuk 'catwalk' di atas pentas untuk mempersembahankan hasil kekreatifan tersebut, ada yang berjalan seperti ROBOCOP! Hendak tergelak para juri dibuatnya. ;)

Tidak kering gusi kami apabila melihat gelagat setiap ahli keluarga yang cuba mendapatkan gula-gula di dalam tepung. Ditiupnya tepung sehingga habis berserakkan dan muka pula bagaikan tepung gomak... Putih melepak   seperti adunan pisang yang telah dicelup dan tunggu digoreng! Hasil dari acara-acara menarik tersebut dapat melahirkan citarasa 'teambuilding','espirit de-core' dan semangat kekitaan yang sejati di kalangan ahli keluarga. 

Sejurus selesai aktiviti-aktiviti yang melibatkan fizikal, semua keluarga kembali berhimpun di dalam dewan untuk pengisian diri mengenai pembentukan keluarga yang bahagia dan harmoni yang disampaikan oleh Tn. Hj. Norazlan Samurdan. Adakalanya minda disuntik, jiwa terusik. Setiap ahli keluarga memegang erat tangan antara satu sama lain sehinggakan si anak melentukkan kepala pada si ibu manakala si ibu melentukkan kepala pada si bapa sebagai tandanya kasih sayang yang tak berbelah bagi. Secara keseluruhannya, Program Hari Keluarga Rancangan Keluarga Bestari dapat menyermarakkan lagi semangat kekeluargaan, kasih sayang yang menetapkan matlamat pada setiap ahli keluarga untuk meraih kecemerlangan hidup.



20101128_SSFP-FamilyDay720
Wajah-wajah setiap ahli keluarga tetap ceria walaupun kepenatan seharian menyertai Hari Keluarga RKB



Akhir kata pihak SSC amat bebesar hati dengan keseluruhan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap ahli keluarga yang menyertainya. Semoga kalian akan berterusan berada di bawah lindungan kasih sayang dan rahmat tuhan.

Adik² boleh memberi komen dan melihat lebih jelas gambar² tersebut dari pautan (link) URL berikut:
Hari Keluarga - Rancangan Keluarga Bestari
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Like the post above? Please subscribe to the latest posts directly via email.