Salam Maal Hijrah

SALAM MAAL HIJRAH

“...Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri... “
(Maksud Surah Ar-Ra’d : 11)
Hijrah dalam erti kata sebenar, apabila lahirnya kesedaran untuk berubah kepada sesuatu yang lebih baik, sentiasa berusaha memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti diri serta berazam untuk meninggalkan bukan sahaja perkara-perkara yang haram bahkan juga perkara-perkara yang syubhat dan lagha.
Sepertimana kata-kata Saidina Ali : “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam. Terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam. Dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam.”
Hijrah bukanlah bermusim, menetapkan tarikh tertentu atau menunggu setiap kali tahun baru untuk berubah, tetapi… hijrah yang terbaik berlaku tidak kira masa, tidak kira detik, tidak kira ketika.
Hijrah juga bukan hanya di bibir, tetapi hijrah perlu diterjemahkan dengan tindakan. Untuk itu kita perlukan kekuatan, kita perlukan sokongan dan kita juga perlukan perancangan agar kita sendiri dapat menilai tahap mana perubahan kita. Ibarat seperti graf perubahan, kita melihat di mana turning point kita, di mana pula kadar pecutan kita dan di mana pula bahagian yang mendatar kita. Titik-titik inilah yang mengambarkan usaha peningkatan kita supaya kita terus istiqamah dengan perjalanan hijrah kita.
Sebagaimana peristiwa hijrah nabi ke Madinah yang penuh dengan perancangan dan strategi, maka kita juga perlu mengambil semangat hijrah itu dalam setiap sudut kehidupan kita.

Marilah sama-sama kita :
Hijrah Hati - Ikhlaskan diri, jauhkan dari prasangka dan hasad dengki.
Hijrah Jiwa - Berjiwa besar sanggup berkorban tenaga, masa dan harta benda.
Hijrah Amal - Menjaga yang wajib, pertingkatkan yang sunat, istiqamah dalam beramal.
Hijrah Minda - Berfikiran positif dengan apa jua dugaan dan cabaran yang melanda.

Semoga niat, perancangan dan tindakan kita terarah ke matlamat yang lebih jelas, mendapat keredhaan dan seterusnya menjadi hamba yang terbaik di sisi Allah SWT.





Salam Maal Hijrah
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Like the post above? Please subscribe to the latest posts directly via email.